Ahad, 11 September 2011

Salam perkenalan

Selamat datang ke laman ini. Terima kasih atas sokongan anda-anda semua. Dengan hadirnya saya dalam dunia penulisan, maka bertambahlah lagi seseorang dalam industri ini. Sebagai seorang 'pelatih' baru, bukanlah niat dihati untuk bersaing dengan nama-nama besar dalam dunia penulisan. Hanya sekadar ingin berkongsi karya dengan para pembaca di luar sana. Terimalah 'kedatangan' saya seadanya dan maafkan seandainya buah tangan dari saya masih terlalu banyak kekurangan.

Rakan-rakan pembaca semua.

Kenapa saya memilih 'masyarakat jiwa'?. Saya memilihnya kerana masyarakat ialah kita dan kita ialah masyarakat dan kita tidak dapat lari darinya. Di dalam setiap karya, saya mengangkat kisah masyarakat sebagai cerita pokok. Eleman cinta, suspen atau komedi adalah merupakan 'pengindahan' yang digerakan seiring dengan perkembangan cerita. Seperti didalam filem Titanic, cerita pokoknya adalah mengenai tenggelamnya sebuah kapal tetapi pengarahnya 'mengindahkan' perjalanan ceritanya dengan sulaman kisah cinta.

Dalam novel 'Gulai Pisang Ikan Masin' pembaca dibawa menyoroti kisah masyarakat dari sudut mata, telinga dan jiwa masyarakat itu sendiri. Aspek suka duka percintaan yang sentiasa menjadi 'penghidup' sesebuah cerita juga sebenarnya sangat rapat dengan masyarakat. Oleh yang demikian, jika kita menghasilkan sebuah karya cinta, sebenarnya kita sedang menulis tentang masyarakat. 

Nantikan kemunculan novel Gulai Pisang Ikan Masin sebuah karya yang mampu menyemputkan seluruh urat saraf anda terbitan Jemari Seni Sdn. Bhd pada bulan Oktober ini. 

Naskah yang mengeletek jiwa dan menyentuh rasa ini, banyak menyorot kembali zaman kanak-kanak yang mampu membangkitkan rasa ‘rindu’ pembaca dengan zaman yang telah kita tinggalkan. Justeru itu, saya abadikan  zaman yang paling indah itu dalam novel ini buat santapan minda pembaca.Selamat menyusuri alam 'indah' zaman kanak-kanak yang pernah kita lalui.

Begitu juga dalam novel 'Ayam Goreng Mak'. Saya masih lagi mengekalkan kisah masyarakat setempat namun ia diindahkan dengan kisah-kisah harian yang bisa menjadikan ia sebuah karya yang tidak 'kosong'.

Lantaran itu jika anda memilikki novel-novel karya Szalies, bagi saya anda bukan membaca buku-buku tulisan saya, tetapi sebenarnya anda sedang berkongsi kisah dengan saya.